expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday, July 19, 2011

CATATAN LENGKAP “BERSIH 2.0” DARI ANAK MUDA BUKIT MERTAJAM a.k.a BUDAK BM

Persiapan Strategi Menuju “Bersih 2.0
Petang  Jumaat 8 Julai 2011, habis saja waktu kerja aku terus memandu pulang. Di dalam fikiran aku pada waktu itu hanya memikirkan tentang perhimpunan besar dan bersejarah yang bakal berlangsung keesokan pada 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur. Perhimpunan yang dimaksudkan ialah perhimpunan BERSIH 2.0. Dalam perjalanan pulang ke rumah petang itu aku singgah di kedai cyber cafe tempat kawan aku iaitu Adil bekerja. Adil juga akan menyertai perhimpunan Bersih 2.0 bersama dua lagi rakan aku yang lain itu Ikhwan Nasir atau Achen serta Said. Kami berempat telah mengambil keputusan untuk pergi ke Kuala Lumpur dengan menaiki keretapi pada jam 10 malam itu.
Tujuan aku singgah di kedai tempat Adil bekerja adalah untuk memikirkan strategi atau tempat untuk kami berkumpul dan bergerak setiba di Kuala Lumpur nanti. Ini kerana keputusan pihak Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil BERSIH 2.0 yang mengubah cadangan pada saat-saat akhir perhimpunan ke Stadium Merdeka membuat aku turut juga terpaksa mengubah cadangan dan rancangan kami . Pada mulanya aku telah memutuskan untuk turun di stesyen keretapi Sungai Buloh dan mengambil komuter ke stesyen bank negara dan berjalan ke Sogo untuk berkumpul di sana. Ini kerana, pada mulanya BERSIH 2.0 mencadangkan agar para penyokong berkumpul di tiga tempat sekitar Kuala Lumpur pada hari itu iaitu di SOGO, Masjid Kampung Baru dan DBKL. Tetapi akibat perubuhan tempat berkumpul disaat-saat akhir kesan dari tekanan dari pihak kerajaan, membuatkan kami juga terpaksa mengubah perancangan kami. Lagi pun berdasarkan pengalaman aku menyertai perhimpun Anti ISA 2009 yang lalu, SOGO adalah tempat strategik untuk berkumpul.
Mengumpul Maklumat
Aku cuba berhubung dengan rakan-rakan aktivis yang lain pada hari Jumaat itu bagi mendapat maklumat sebenar dimana kawasan strategik yang bakal digunakan untuk berkumpul. Satu maklumat yang aku dapat, memberitahu agar berkumpul di Masjid Negara dan berarak ke Stadium Merdeka selepas Zohor dan jika tidak dapat ke Stadium Merdeka diarahkan berkumpul di Puduraya. Aku mengirim sms ke salah seorang aktivis sosial terkenal iaitu Hishammudin Rais a.k.a Tukar Tiub bagi bertanyakan maklumat dan serta idea strategi. Tukar Tiub mengarahkan aku turun keretapi di Stesyen Keretapi lama Kuala Lumpur dan terus ke Masjid Negara dan berkumpul di situ hingga pukul pukul 2 petang dan berarak ke Stadium Merdeka. Sebenarnya aku tidak berapa berminat untuk berkumpul di Masjid Negara, ini kerana berdasarkan sejarah demostrasi – demostrasi besar sebelum ini Masjid Negara adalah tumpuan utama polis dan  FRU untuk membelasah dan menangkap para penyokong.  Tapi akhirnya aku akur juga kepada cadangan – cadangan untuk berkumpul di  Masjid Negara.
Setiba di rumah aku terus mandi dan berehat sekejap bagi menghilang penat bekerja pada hari itu. Dalam hati aku, aku begitu tidak sabar untuk menanti jam 10 malam untuk menaiki keretapi ke Kuala Lumpur. Aku turut menghubungi kawan – kawan aku yang lain yang akan menyertai perhimpunan itu juga. Ada antara rakan aku yang lain ini pergi dengan menaiki kereta dan ada yang pergi menaiki bas yang disewa khas. Aku memilih untuk menaiki keretapi kerana bagi aku perjalanan dengan keretapi lebih lancar dan selamat untuk ke Kuala Lumpur berbanding dengan kenderaan lain walaupun agak sedikit memenatkan. Mustahil polis akan membuat sekatan jalan raya di atas landasan keretapi. Ini kerana 3 hari sebelum perhimpunan itu berlangsung jalan masuk ke Kuala Lumpur dikawal begitu ketat seperti situasi perang dan Kuala Lumpur telah menjadi kawasan larangan pada pemimpin – pemimpin utama perhimpunan BERSIH 2.0 serta banyak jalan juga telah ditutup menjelang 12 tengah malam 9 Julai 2011 bagi menghalang orang ramai memasuki Kuala Lumpur. Hampir beratus juga telah ditangkap beberapa hari sebelum perhimpunan BERSIH 2.0 berlangsung.  Aku cuma risaukan kalau - kalau Keretapi Tanah Melayu KTM membatalkan semua perjalanan mereka ke Kuala Lumpur pada malam itu. Aku telah membuat keputusan jika perkara ini berlaku aku dan rakan – rakan aku tetap akan pergi ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta aku sendiri. Apa pun terjadi aku mesti libatkan diri dalam perhimpunan yang bersejarah itu. Aku tidak mahu menjadi rakyat Malaysia yang hanya mengeluh tetapi berpeluk tubuh tidak berbuat apa – apa.
Beberapa jam sebelum bertolak, aku mengikuti perkembangan semasa mengenai perhimpunan itu di internet dan juga di televisyen. Berbagai amaran dan ancaman yang keluar dari media – media arus perdana pada saat – saat akhir hinggalah mahu menggunakan tentera bagi menakutkan rakyat yang mahu menyertai perhimpunan itu nanti. Semua ancaman dan tekanan yang keluar dari media arus perdana itu membuatkan aku lebih bersemangat dan tidak sabar – sabar untuk menyertai perhimpunan BERSIH 2.0. Aku perhatikan yang wajah ibu aku agak risau dengan perkembangan melalui berita tv3 malam itu. Namum aku cuba menyakinkan ibu aku bahawa tujuan aku pergi ini adalah untuk menyertai perhimpunan yang aman dan bukan untuk membuat kekacauan. Dalam hati aku, aku hanya mahukan “restu” dari ibu aku. Ayah aku hanya selember dan tidak berkata apa – apa melihat aku bersiap – siap untuk pergi ke stesyen keretapi pada malam itu. Namum aku tahu, ayah aku bersetuju dengan tindakan aku cuma dia seorang yang tidak pandai menunjukkan penyetujuannya.
Melangkah Keluar Dari Rumah
Tepat jam 9 malam aku melangkah keluar dari rumah dengan membawa sebuah beg  galas dan sehelai tuala kecil. Aku tidak membawa sebarang pakaian lebih. Aku keluar dari rumah dengan menaiki motosikal menuju ke rumah Said. Dalam perjalanan ke rumah Said di Kampung Baru Alma, aku singgah di sebuah mesin atm bagi mengambik wang. Aku hanya membawa RM150 dalam poket.  Ini kerana aku baru beberapa minggu bekerja dan belum mendapat gaji. Sampai di rumah Said, emak Said telah sedia menjemput aku. Motosikal aku, aku tinggalkan di rumah Said dan emak bersama kakak Said menghantar aku dan Said ke Stesyen Keretapi Bukit Mertajam dengan menaiki kereta
KTM Bukit Metajam
Setiba di KTM Bukit Mertajam, Adil dan Achen telah sedia menunggu. Aku perhatikan telah ramai orang berkumpul di KTM Bukit Mertajam bagi menaiki keretapi ke Kuala Lumpur. Dalam perkiraan aku ramai yang berada di KTM Bukit Mertajam tersebut akan ke Kuala Lumpur dengan tujuan yang sama dengan aku. Namum aku sedar, polis cawangan khas SB juga telah ramai berkeliaran dan memerhatikan gerak – geri bakal penumpang keretapi malam itu yang akan ke Kuala Lumpur. Di stesyen keretapi, kami berempat tidak duduk sekali dan berlagak seolah – olah tidak mengenali antara satu sama lain, ini kerana bagi mengelakkan gerak – geri kami disedari oleh polis SB yang belegar sekitar kawasan stesyen keretapi. Ini ditambah pula, dalam beg yang digalas Achen mempunyai 4 helai baju T-Shirt BERSIH 2.0. Kami tidak bercakap banyak sementara menunggu keretapi datang. Aku berdiri di kawasan luar stesyen sambil mengisap rokok sendirian begitu juga dengan 3 rakan aku yang lain dengan hal masing – masing. Sehinggalah keretapi yang kami tunggu datang. Dalam hati aku merasa lega melihat keretapi yang akan membawa kami ke Kuala Lumpur tiba juga akhirnya. Aku bimbang kalau – kalau pihak KTM membuat pengumuman yang keretapi pada malam itu dibatalkan perjalanan, ini kerana Malaysia ini semuanya boleh.
Setelah keretapi tiba, kami menaiki gerabak seperti yang tertulis diatas tiket dan duduk di kerusi yang ditetapkan.  Aku telah membeli tiket keretapi ini 3 minggu sebelum perhimpunan ini berlangsung bagi mengelakkan kehabisan tiket. Apa bila keretapi mula bergerak, aku sudah berdebar – debar serta tidak sabar untuk tiba. Sudah terbayang difikiran aku tentang lautan manusia yang ramai membanjiri Kuala Lumpur serta aroma gas pemedih mata yang pasti akan dapat aku hidu. Aku sedar yang peratusan untuk ditangkap oleh polis pada perhimpunan BERSIH 2.0 itu nanti cukup tinggi, 60% untuk ditangkap itu mesti ada. Namum semua itu membuatkan aku lebih bersemangat dan aku rela kalau tertangkap. Kerana bagi aku, jika tertangkap sekali pun, aku pasti merasa bangga kerana aku bukan melakukan kesalahan jenayah tetapi sebagai pejuang rakyat. Sepanjang perjalanan dan beberapa hari sebelum kami bertolak ke Kuala Lumpur, aku sering bergurau dengan kawan aku dengan mengatakan, “kita tak payah pikir la pasal nak balik lagi...kita pikir pasal nak pi dulu..lagi pun bila kita pi belum tentu kita boleh balik.....” semua ini walaupun aku ucapkan sebagai gurauan namum masej yang aku cuba hantar ialah perhimpunan ini cukup memcabar dan kemungkinan untuk ditangkap itu cukup tinggi, moga kami bersedia.
Situasi Di Dalam Keretapi
Di dalam keretapi, aku terdengar cakap – cakap penumpang yang duduk dihadapan aku tentang perhimpuan BERSIH 2.0. Aku sedar bahawa mereka juga bakal menyertai perhimpunan itu. Setelah beberapa jam dalam keretapi aku mula dapat merasakan bahawa hampir semua dalam gerabak yang aku naiki itu adalah bakal demostrater yang akan menyertai perhimpunan BERSIH 2.0. Kini aku mula sedar bahawa pasti ramai yang akan menyertai perhimpunan itu nanti walaupun pelbagai cara Umno Barisan Nasional gunakan untuk menghalang rakyat menyertainya. Aku hanya tidur – tidur ayam diatas keretapi, walaupun badan aku agak letih kerana bekerja disiang hari, namum aku tidak boleh tidur dengan lena bukan kerana keretapi yang bergoyang tetapi asyik memikirkan dan tidak sabar dengan perhimpunan BERSIH 2.0 yang bakal berlangsung kurang 24jam dari masa tersebut.
Setelah bosan menonton tv di dalam keretapi, kami berempat pergi ke kantin untuk minum. Di kantin aku juga terdengar bisik – bisik orang bercakap tentang BERSIH 2.0, dan nada mereka bercakap menunjukkan mereka akan menyertai perhimpunan itu nanti. Kami hanya tersenyum menyatakan sokongan kepada mereka itu. Kami tahu ramai yang menyokong BERSIH 2.0 di dalam keretapi itu tetapi tidak berani untuk menunjukkan secara terbuka kerana bimbang dengan polis SB yang sentiasa berada di merata tempat. Selesai minum kami lepak ditangga keretapi bagi menghisap rokok. Aku perhatikan terdapat seorang lelaki sekitar lewat 40an sedang duduk ditepi tangga keretapi. Rupanya lelaki ini menaiki keretapi dengan tidak mempunyai tiket dan sanggup membayar denda harga tambang untuk ke Kuala Lumpur bagi tujuan yang sama.  Terlintas dihati aku, jika pak cik yang bersendal capar yang berusia hampir 50an ini berani untuk pergi ke perhimpuan BERSIH 2.0 seorang diri, malulah aku yang berusia 20an yang penuh tenaga ini jika tidak menyertainya.
Sepanjang perjalanan dalam keretapi ke Kuala Lumpur, aku dihujani dengan banyak sms dari rakan dan pemberi maklumat. Ramai rakan – rakan mengirim sms dengan ucapan selamat dan kata –kata semangat. Ada juga yang menelefon dengan memberitahu keadaan semasa di Kuala Lumpur. Aku juga turut mengirim sms bertanyakan perkembangan rakan – rakan aku yang pergi dengan kereta dan bas. Ini bagi memastikan semuanya selamat tiba ke destinasi demokrasi. Semua ini membuatkan aku lebih semangat. Kira – kira jam 5.15 pagi aku mendapat panggilan dari rakan aku yang pergi dengan kereta. Dia memberitahu bahawa dia telah selamat tiba di Kuala Lumpur dengan selamat. Aku kagum kerana dengan begitu ketat kawalan polis pada malam itu rakan aku itu dapat menembusi juga ke Kuala Lumpur dengan menggunakan pelbagai jalan alternatif. Aku tiba di Kuala Lumpur kira – kira sejam dari itu.
Apabila keretapi melintasi stesyen KTM Sungai Buloh aku sudah bangkit membawa beg dan menunggu di tangga keretapi kerana aku tahu selepas beberapa ketika sahaja lagi aku akan tiba di stesyen lama Kuala Lumpur. Apa bila keretapi tiba di stesyen keretapi lama Kuala Lumpur, keretapi kami tidak berhenti, malah terus meneruskan perjalanan ke KL Sentral. Lagi aku terpaksa mengubah rancangan saat – saat akhir. Ini kerana rancangan awal untuk ke Masjid Negara agak terganggu kerana jarak KL Sentral ke Masjid Negara agak jauh, malah ada maklumat mengatakan yang semua komuter pada hari itu telah dihentikan perkhidmatannya.  Namum kami terpaksa juga meneruskan racangangan. Kami tidak kekok walaupun rancangan awal kami agak terganggu kerana ramai lagi para peserta perhimpunan tersebut turun di KL Sentral.
Tiba Di KL Sentral
Setiba di KL Sentral aku melihat ramai para peserta perhimpunan telah tiba serentak atau mungkin sebelum kami. Aku juga terjumpa beberapa orang kampung aku yang bakal turut serta dalam perhimpunan itu nanti. Kami menuju ke surau KL Sentral dan ramai peserta – peserta berada di surau hinggakan terpakasa menunggu giliran untuk solat subuh. Setelah selesai kami berempat berlegar sekitar KL Sentral. Kami lepak bersama peserta dari negeri – negeri lain di pintu masuk utama KL Sentral. Orang yang makin ramai tadi telah makin kurang entah kemana. Aku mendapat maklumat ada yang pergi berjalan kaki ke Masjid Negara dan Stadium merdeka yang jaraknya agak jauh, malah polis telah makin bertambah di KL Sentral. Aku pergi berbual dengan beberapa orang para peserta dari Johor. Setelah beberapa lama berbual, salah seorang dari mereka mendapat sms dengan mengatakan arahan untuk berhimpun di Masjid Negara dan bergerak ke Stadium Merdeka pada jam 2 petang. Aku mendapat matlumat bahawa komuter ke arah Masjid Negara masih beroperasi dan bakal ditamatkan tidak berapa lama lagi.
Aku lantas pergi kearah kawan aku dan mengajak mereka membeli tiket ke untuk ke Masjid Negara. Aku dan rakan – rakan aku bersama kumpulan lelaki dari Johor itu tadi terus bergerak ke kuanter tiket. Namum kumpulan dari Johor itu tadi terlebih dahulu menaiki komuter dari kami dan kami terpaksa menunggun komuter yang lain. Sekitar 8.45 pagi, kami menuju ke stesyen keretapi lama denga menaiki komuter arah Rawang. Tiba di KTM lama Kuala Lumpur kelihatan polis telah penuh sekitar kawasan Masjid Negara. Namum polis pada waktu itu tidak mengganggu pergerakan bakal peserta perhimpunan yang sekitar ratusan orang sekitar KTM lama dan Masjid Negara. Polis hanya memerhatikan pergerakan para peserta kerana mungkin mereka belum mendapat arahan untuk bertindak.
KTM KL dan Masjid Negara
Adil dan Achen berjalan jauh ke depan dan aku berjalan bersama Said dibelakang. Tiba – tiba Said mengatakan yang dia mahu ke tandas. Aku membiarkan Said ke tandas dan terus mengejar langkah Adil dan Achen yang jauh kedepan. Aku sukar memerhatikan mereka kerana jumlah orang yang makin ramai. Aku menelefon Adil dan dia memberitahu bahawa dia dan Achen berada sedikit dihadapan. Setelah aku bertemu semula dengan Adil dan Achen, kami menunggu Said dihadapan restoran nasi kandar di KTM KL. Lama menunggu tapi Said belum tiba, aku serta Adil dan Achen mengambil keputusan untuk pergi dahulu ke Masjid Negara dan percaya Said akan menyusul kemudian memandang keadaan pada waktu itu masih lagi tenang.
Setiba di Masjid Negara aku perhatikan ramai anggota polis yang beruniform dan tidak beruniform telah berada dalam kawasan masjid. Namum jumlah orang ramai juga makin meningkat sekitar perkarangan masjid negara. Kami bertiga lepak di dataran Masjid Negara tersebut sambil menunggu Said. Aku mula menghubungi Said tetapi tidak dijawab. Aku mula memikirkan yang Said sudah mungkin ditangkap. Tidak berapa lama selepas itu, Said menghubungi aku dan bertanya kami berada dimana. Aku memaklumkan yang kami berada dalam perkarangan Masjid Negara dan mengarahkan dia datang ke sini. Said memberitahu bahawa dia sudah tidak boleh datang kearah masjid kerana sudah ada sekatan polis dari menghalang orang ramai masuk ke masjid. Said juga memaklumakan bahawa dia telah ditahan polis dan beg yang dia bawa telah digeledah polis namum tidak ditahan. Aku mengarahkan Said berjalan seperti biasa ke Masjid Negara namum Said memberitahu dia sudah tidak boleh untuk berbuat begitu.
Suasana Tegang Di Masjid Negara
Namum begitu, dalam beberapa ketika sahaja keadaan di Masjid Negara sudah menjadi sedikit tegang. Polis yang beruniform dan yang memakai vest polis telah mula bergerak kearah orang ramai. Berdasarkan pengalaman aku, polis yang 
memakai vest ini selalunya digerakkan untuk menangkap dan membuat serbuan keatas para peserta secara rambang. Aku mengajak Adil dan Achen masuk ke dalam masjid kerana dalam perkiraan aku polis mungkin tidak menggangu mereka yang berada dalam masjid. Namum jangkaan aku silap, Polis menghambat orang ramai hingga ke dalam masjid. Kami berlegar – legar sekitar dalam masjid bagi menjauhkan diri dari polis yang mula menerpa kearah orang ramai. Terdapat jeritan dari polis yang mengarahkan semua yang berada di dalam masjid supaya beredar. Aku perhatikan dari atas seorang muslimat PAS telah ditahan oleh beberapa polis wanita dan lelaki.

Sambil itu keadaan dalam Masjid Negara mula agak tegang, Achen hampir bertekak dengan polis yang mahu mengambil begnya. Aku tahu Achen tegas melawan tindakkan polis tersebut kerana terdapat 4 helai t-shirt Bersih 2.0 didalamnya. Jika ini dikesan sudah tentu Achen akan ditahan. Aku menasihatkan Achen jika keadaan memaksa tinggalkan sahaja t-shirt bersih itu kerana bagi aku penyertaan kami dalam perhimpunan bersih 2.0 itu lebih penting dari t-shirt tersebut. Namum Achen begitu berani dan masih enggan meninggalkan beg berisi t-shirt bersih 2.0 tersebut.

Solat Hajat Yang Dikepong
Tidak berapa lama selepas itu, terdapat seorang lelaki mengajak semua yang berada di dalam masjid untuk menunaikan solat hajat. Aku mengambil keputusan untuk menyertai solat hajat tersebut. Aku hanya mengambil wudhuk pada air pancut ditepi kolah masjid. Selang beberapa ketika air pancut itu tadi ditutup entah oleh siapa, dan mungkin tujuannya bagi menghalang orang ramai dari mengambil wuduk sekaligus menghalang dari mereka bersolat hajat. Sekitar 70 orang lebih menyertai solat hajat tersebut. Adil dan Achen tidak menyertai solat hajat tersebut kerana mereka diprovok oleh polis untuk meninggalkan kawasan dalam masjid. Mujur aku sempat memasuki saf solat dan polis tidak dapat berbuat apa – apa. Kini aku sudah terpisah dari Adil, Achen dan Said. Jemaah lain terus bersolat hajat. Dalam masa kami bersolat hajat, polis telah bertindak mengepong tempat kumpulan jemaah yang sedang bersolat. Mungkin begini agaknya umat Islam di Palestin menunaikan solat di Masjid Al-aqsa yang dikawal ketat oleh polis dan tentera Israel.  Aku kira setelah selesai solat ini nanti pasti aku dan semua disini akan ditangkap. Namum aku terus menunaikan solat hajat dengan tenang.
Selepas sujud yang terakhir, aku mendengar arahan dari walkkie talkie polis yang mengarahkan agar semua yang sedang bersolat itu ditangkap. Pada ketika itu imam sedang membaca doa, kami semua tidak berganjak dari saf dan terus mengaminkan doa imam walaupun polis telah mengelilingi kami dan mungkin hanya menunggu masa untuk menangkap. Doa yang panjang dibaca oleh imam dan jumlah polis semakin ramai mengelilingi dan menghampiri jemaah yang sedang berdoa. Namum tidak seorang pun yang berasa gentar atau meninggalkan saf jemaah. Semua makin kuat dan bermangat mengaminkan doa imam. Aku bersedia sahaja sekiranya ditangkap setelah solat itu.
Namum setelah selesai solat, seorang pegawai polis yang berpaku tiga, mengarahkan dengan lembut dan sopan kepada semua jemaah untuk beredar dari kawasan dalam masjid dengan berjalan kearah hadapan dan pusing keluar mengikut pintu utama masjid. Walaupun aku merasa sedikti lega dengan arahan itu, namum aku merasakan mungkin ada muslihat polis dengan mengarahkan kami keluar dari dalam masjid dengan melalui satu arah. Mungkin ada polis diluar sana yang telah bersiap sedia untuk menangkap kami. Aku bersedia sahaja dengan apa jua kemungkinan.
Rupanya polis ikhlas dengan arahannya tersebut, kami dibiarkan meningkalkan kawasan  dalam masjid dan perkarangan Masjid Negara dengan tenang dan aman tanpa sebarang gangguan dan provokrasi. Aku juga sempat bergurau dengan salah seorang polis ketika dia sedang mencari kasut dan dia juga membalas guruan aku dalam loghat Kelantan. Terima kasih aku ucapkan kepada pegawai dan anggota polis yang sanggup engkar arahan ketuanya yang menyuruh menangkap kami tadi. Dalam demostrasi – demostrasi besar begini, saat paling genting serta berisiko tinggi untuk ditangkap adalah pada sebelum dan selepas perhimpunan.
Restoran Mamak Nasi Kandar KTM Lama KL
Setelah keluar dari perkarangan Masjid Negara, aku menelefon Adil dan dia memberitahu bahawa dia dan Achen sedang berada dihadapan KTM lama KL. Aku berjalan keluar dengan selamber sambil melemparkan senyuman kepada anggota polis yang terdapat di kawasan sekitar. Aku mencari – cari Adil dan Achen dicelah – celah orang ramai dan anggota polis. Akhirnya aku bertemu kembali dengan Adil dan Achen tetapi  Said telah hilang sejak dari tadi. Usaha menghubungi dia juga gagal. Aku serta Adil dan Achen masuk ke dalam restoran nasi kandar di KTM lama KL. Tujuan kami adalah untuk mengelak dari bertembung dengan polis dan berlagak seperti pelanggan restoran. Keadaan pada waktu itu walaupun kelihatan tenang tapi cukup membahaya umpama ikan yang bergerak dicelah – celah jaring dan bila – bila masa sahaja boleh tersangkut pada jaring. Polis menangkap sesiapa sahaja secara rambang dan usaha menjauhkan diri dari mereka dan SB perlu dilakukan. Aku sempat menoleh kearah Masjid Negara dan aku perhatikan Masjid Negara telah ditawan polis dalam sekelip mata. Hanya kelibat polis sahaja yang kelihatan dalam perkarangan Masjid Negara tidak seperti awal tadi.
Aku, Adil dan Achen masuk kedalam restoran nasi kandar dan memesan minimum. Aku sempat menjamah roti canai bagi mengisi perut. Keadaan dalam restoran nasi kandar itu juga penuh sesak dengan orang ramai yang juga para peserta perhimpunan. Aku kira mamak nasi kandar itu pada hari tersebut sahaja telah mengaut untung lebih dari hari – hari lain. Aku menghubungi Said sekali lagi dan kali ini berjaya. Aku mengarahkan dia datang dan masuk kedalam restoran nasi kandar tersebut. Dalam pada masa itu para peserta perhimpunan di dalam restoran nasi kandar tersebut terus berbual dan mengutuk kawalan ketat polis. Kali ini semuanya bersembang secara terbuka dan tidak secara bersembunyi lagi. Tidak berapa lama selepas itu aku terlihat Said telah memasuki restoran nasi kandar yang aku dan dua rakan aku lagi berada. Rupanya selamat lagi Said dari ditangkap. Kami berusaha untuk mengelakkan diri dari ditangkap bukan kerana takut dilokap atau ditahan, tetapi kami memikirkan rugi jika tertangkap awal – awal kerana sudah tentu peluang kami untuk berhimpun dalam beberapa jam sahaja lagi akan terbantut dan kami betul – betul mahu terlibat dalam perhimpunan tersebut.
Tangkapan Dan Pemeriksaan Beg Mencari T-Shirt Kuning “Bersih 2.0”
Sedang kami minum, kami memerhati melalui tingkap restoran, tangkapan demi tangkapan telah dilakukan oleh polis. Tidak berapa lama selepas itu datang arahan dari pegawai polis yang mengarahkan sesiapa yang telah selesai makan dan minum agar terus keluar meninggalkan restoran nasi kandar tersebut. Sebelah pintu restoran nasi kandar tersebut juga telah ditutup bagi menghalang orang ramai masuk. Nampaknya polis yang menyekat rezeki mamak itu pada hari tersebut. Aku merasakan keadaan mula agak kurang selesa dan berbahaya di dalam restoran nasi kandar tersebut. Ini ditambah lagi dengan polis yang sudah mengepung pintu masuk restoran tersebut. Aku mengajak 3 rakan aku yang lain agar keluar dari restoran. Setiba di pintu restoran untuk keluar, polis mengarahkan agar semua yang membawa beg diperiksa beg masing – masing oleh polis. Aku mula memerhatikan Achen kerana di dalam beg Achen terdapat t-shirt BERSIH 2.0 dan memang tujuan pemeriksaan beg oleh pihak polis itu adalah untuk mencari sesiapa yang memiliki  t-shirt BERSIH 2.0 untuk ditahan. Aku membisik kepada Achen agar melepaskan dan meningkalkan sahaja beg itu didalam di dalam restoran nasi kandar tersebut. Tetapi ternyata Achen berani dan keras hatinya. Dia masih enggan melepaskan beg yang berisi  t-shirt bersih tersebut. Achen membelok ke tandas dan kami bertiga yang lain keluar dengan selamber dari restoran nasi kandar tersebut. Beg aku diperiksa polis dan begitu juga dengan beg Adil dan Said. Namum kami tidak ditahan kerana tidak mempunyai t-shirt atau barang berunsur BERSIH 2.0 didalam beg kami.
Berkumpul Di Dalam KTM KL
Aku mengajak Adil dan Said masuk ke dalam KTM lama KL, aku memberitahu mereka “jika polis menahan, kita cakap yang kita hendak mengambil train untuk balik”. Sambil berjalan ke dalam KTM aku melemparkan senyuman kepada polis walaupun aku jenis seorang yang sukar untuk senyum. Sambil – sambil itu aku berkata kepada salah seorang aku anggota polis “nak berhimpun tak boleh kena ambik train balik aarr..” sambil dibalas polis tersebut dengan berkata “aarr balik-balik..”.
Keadaan di dalam KTM terutama disekitar tempat menunggu keretapi, orang sudah semakin ramai. Rupanya kini tempat tersebut menjadi tempat perkumpulan sementara menunggu perhimpunan sebenar bermula. Selang beberapa ketika ada terdengar orang bertakbir, malah jumlah wartawan dan jurugambar juga makin ramai. Tiba – tiba aku ternampak Achen berjalan masuk kedalam KTM, aku melambai tangan kepada dia untuk memanggil dia kearah kami. Syukur Achen terselamat, dia memberitahu, t-shirt BERSIH 2.0 itu tadi disorokkan dalam lipatan seluar dan polis gagal mengesan ketika memeriksa beg dia.
Polis telah mula masuk ke dalam KTM dan kawasan sekitar landasan. Beberapa tangkapan juga telah berlaku. Keadaan yang mula tadi agak tenang kini dengan pantas menjadi tegang. Jam pada waktu itu menunjukkan baru sekitar 10 pagi. Lebih kurang 3 jam lebih lagi untuk menunggu masuk waktu Zohor, ini kerana kami percaya jika telah masuk waktu Zohor, polis pasti tidak akan dapat menghalang orang ramai memasuki Masjid Negara untuk menunaikan Solat dan selepas solat sudah pasti perhimpunan besar akan berlaku. Tapi jangkaan aku meleset, maklumat yang aku dapat selepas itu, Masjis Negara telah ditutup sama sekali dan tidak ada sesiapa dibenarkan menunaikan solat Zohor di Masjid Negara.  Nampaknya Masjid Negara sudah menjadi seperti Masjid Al-aqsa. Tapi sekurang-kurangnya di Masjid Al-aqsa umat Islam masih lagi dibenarkan sembahyang sambil dikawal ketat oleh tentera Yahudi Israel tapi di Masjid Negara pada waktu itu diharamkan terus masuk ke masjid dari menunaikan solat.
Kami masih terus berada dalam kawasan berhampiran tempat menunggu train di KTM lama KL. Keadaan semakin tegang dan aku jangkakan polis aku bertindak menyerbu bila – bila sahaja ke atas orang ramai yang berhimpun disitu. Masih lagi lambat untuk menuju ke jam 2 petang, jika terus menunggu disitu aku rasakan tidak akan membawa apa – apa dan risiko tertangkap itu cukup tinggi. Akhir sekali kami berempat membuat keputusan untuk menginap dimana – mana hotel berhampiran sementara menunggu jam 2 petang, ini kerana jika sudah jam 2 petang perhimpunan besar telah berlangsung lautan manusia telah wujud dan pada waktu itu polis tidak mampu lagi untuk membuat tangkapan dan pada waktu hanya pertempuran dengan pasukan unit simpinan persekutuan FRU sahaja yang akan berlaku dan menyeronokkan.
Menempah Hotel
Oleh itu, kami berempat mula bergerak dari KTM melalui jalan dalam KTM menuju kearah pasar seni dan ke Jalan Petaling untuk mencari hotel buget di kawasan sekitar. Dalam perjalanan, aku teserempak dengan bekas rakan sekerja aku yang merupakan seorang kakitangan awam yang lagi 3,4 tahun akan pencen. Beliau begitu berani dalam usia yang begitu dengan statusnya sebagai kakitangan awam, yang jika tertangkap boleh hilang pencennya datang ke perhimpunan tersebut. Aku tabik kepada beliau. 
Akhirnya kami menempah satu balik untuk 4 orang untuk tempoh 2 jam iaitu 11pagi hingga 1ptg. Hotel yang kami pilih ialah Hotel China Town di Jalan Petaling dengan bayaran yang dikenakan terhadap kami RM120 selama 2 jam. Walaupun agak mahal, kami berkongsi duit seorang RM30 untuk menginap disitu buat seketika. Sekurang – kurangnya kami boleh melepaskan dari risiko untuk ditangkap pada waktu awal, dapat merehatkan diri dan mengumpul tenaga serta mandi. Aku memanfaatkan masa 2 jam itu untuk merehatkan badan dan tidur sejenak. Apabila jam sudah 12.30 tengah hari aku bangun untuk mandi. Achen dan Adil telah bersiap dengan lebih awal, Said masih tertidur. Setelah selesai mandi, aku mengejutkan Said agar terus mandi dan bersiap. Sementara menunggu Said siap mandi, aku sempat menjamah 2 keping roti yang dibeli di KL Sentral pagi tadi. Hanya 2 keping roti itu yang akan mengisi perut aku untuk berdemo hingga petang nanti. Ini kerana sudah tidak ada masa untuk kami mencari kedai makan untuk makan tengah hari. Apa yang ada dalam kepala kami pada waktu itu hanya “DEMOSTRASI”.
Lautan Manusia Mula Wujud
Lagi 5 minit jam 1 petang kami meninggal bilik hotel dan check out, dan setelah keluar dari hotel kami telah mendengar jeritan dan laungan orang ramai yang entah berapa ramainya. Kami dapati laungan itu datang dari arah belakang hotel kami menginap sekitar Jalan Petaling. Said belum lagi keluar dari hotel kerana dia ke tandas. Aku, Achen dan Adil sudah begitu teruja untuk menyertai kelompok ramai rakyat tersebut. Setibanya di jalan belakang hotel kami menginap, kami perhatikan sekitar 2 hingga 3 ribu orang telah berada di atas jalan raya. Kami bertiga terus menyertai kumpulan tersebut sambil melaungkan “hidup-hidup, hidup rakyat” , “bersih-bersih”, “reformasi” dan pelbagai lagi selongan semangat. Hanya beberapa ketika sahaja jumlah orang ramai tersebut terus meningkat, aku menoleh kebelakang dan perhatikan hampir 200 meter dari belakang aku sudah dipenuhi orang ramai hanya dalam masa tidak sampai 5 minit. Entah dari mana jumlah orang ramai itu datang, ini kerana ketika aku dan rakan aku berjalan disekitar Jalan Petaling untuk ke hotel pagi tadi, suasana agak lengang, hanya ada beberapa kumpulan kecil ditepi jalan dan yang lebih ketara adalah jumlah polis. Tapi kini lautan manusia telah menawan sepenuhnya kawasan Jalan Petaling.
Helikopter polis berlegar – legar di udara mungkin bagi memantau suasana perhimpunan aman itu. Setiap kali helikopter terbang rendah, ianya akan disorak oleh orang ramai dan aku sendiri mengibarkan t-shirt “bersih 2.0” yang aku simpan dibahagian punggung seluar aku sewaktu turun dari hotel bagi mengelak dari dikesan polis. Said tidak bersama kami lagi pada waktu itu, lautan manusia di Jalan Petaling terus bergerak menuju ke hadapan menara Maybank Jalan Pudu.Jumlah yang aku boleh anggarkan di Jalan Petaling sahaja sudah hampir 8000 orang. Ketika sedang menuju ke hadapan menara Maybank, aku berjumpa kembali dengan Said setelah dia menghubungi Adil untuk mengetahui lokasi. Kami terus bergerak dalam jumlah lautan orang ramai dan terdiri dari pelbagai bangsa. Anak – anak muda kaum Cina boleh dikatakan agak ramai dengan membawa bunga dan belon kuning. Tidak ada anggota polis atau FRU yang kelihatan sekitar Jalan Petaling pada waktu itu. Ini mungkin kerana pihak polis sudah tersalah percaturan dan menjangka tidak akan ada dan orang ramai tidak berani berhimpun di Jalan Petaling yang terkenal dengan kisah kongsi gelap.
Lebih kurang 100 meter untuk tiba dihadapan menara maybank Jalan Pudu, aku sudah dapat melihat lautan manusia sekitar 5 hingga 6 ribu orang sudah sedia berhimpun dihadapan menara maybank tersebut. Ketibaan kumpulan kami disambut dengan laungan semangat beserta tepukan gemuruh oleh para perserta perhimpunan Bersih 2.0 yang telah berada disitu. Kami terus bergabung dan membentuk kumpulan yang makin besar sekitar 10 ribu pada waktu itu. Polis dan FRU masih belum kelihatan. Aku mendapat panggilan dari kawan aku yang berhimpun di Masjid Kampung Baru bahawa mereka telah dibedil dengan gas pemedih mata disana. Rakan aku juga memaklumkan jumlah peserta di masjid Kampung Baru juga sekitar 5 ribu peserta dan mereka ini tidak berjaya untuk ke menara maybank kerana kerana telah dikepung dan dibedil oleh FRU. Mungkin FRU dan Polis lebih menumpukan perhatian di Masjid Kampung Baru dan beberapa kawasan “panas” yang lain dan terlepas pandang di Jalan Pudu dan Menara Maybank, makan kami selamat seketika.
Doktor Hatta sedang berucap dari atas tangga menara Maybank dengan mengguna “heler”. Suara Doktor Hatta sayup – sayup kedengaran kerana ditenggelamkan oleh suara orang ramai. Namum aku dapat mendengar bawah Doktor Hatta telah memberitahu bahawa beberapa pemimpin Pakatan telah ditangkap, antaranya Mahfuz Omar, Salahuddin Ayop dan Nurul Izzah. Dalam masa yang sama aku dapat perhatikan jumlah para peserta makin bertambah. Pergerakan masuk para peserta seolah tidak berhenti. Aku menoleh kearah Jalan Tun Perak dan kelihatan para peserta terus datang berdoyon – doyon. Aku mengalihkan perhatian aku kearah Jalan Pudu dari aku perhatikan kehadiran orang ramai terus melimpah datang dari arah Bukit Bintang masuk ke Jalan Pudu. Tiba – tiba aku mendengar jeritan orang ramai dari belakang. Aku toleh kebelakang dan rupanya satu kumpulan lagi sekitar 3 hingga 4 ribu orang baru tiba dari Jalan Petaling. Kuala Lumpur memang benar – benar telah ditawan oleh rakyat pada hari itu. Setiap simpang dan setiap selekoh penuh dengan lautan manusia dan ianya tidak putus dari pandangan. Sewaktu di hadapan menara maybank aku sempat perhatikan 4, 5 orang pelancong asing turut menunjukkan reaksi gembira dengan perhimpunan itu dan mereka turut menyertai dan bersorak riang. Aku menegur seorang pelancong remaja lelaki, dia memberitahu dia berasal dari England, dia tidak kekok malahan sedikit pun tidak takut dengan perhimpunan ratusan ribu rakyat itu mungkin kerana perkara ini sudah biasa di negara seperti England. Aku memberitahunya bahawa “we gather here today, because we need a free and fair election, our government is very corrouptent handle the election”  kata – kata aku itu disambut dengan tepukan orang sekumpulan remaja cina yang berada dihadapan aku dan kami bersalaman.
FRU, Water Canon Dan Aroma Gas Pemedih Mata
Lebih kurang  satu lebih jam kami berada dihadapan menara maybank yang umpama seperti pesta rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan mempunyai impian yang sama iaitu “Free and Fair Election”. Selepas beberapa ketika kelihatan sebuah truck FRU yang membawa meriam air “water canon” mula tiba dari arah Jalan Tun Perak. Namum para peserta sedikit tidak berganjak hinggalah apabila FRU melepaskan pancutan air kimia yang berwarna biru kearah orang ramai. Aku, Achen, Adil dan Said lari menyelamatkan diri dengan mengikut orang ramai menuju kearah jalan pudu. Sebahagian lagi para peserta lari kearah Jalan Petaling, ini akan lebih memudahkan kerja polis dan FRU kerana jumlah orang ramai telah berpecah dua kearah arah Jalan Pudu dan Jalan Petaling. Dalam masa para perserta cuba lari dan mengelak dari terkena pancutan air kimia, segerombolan FRU yang berjalan kaki dan lengkap bersenjata melepaskan gas pemedih mata. Akibat dari para peserta yang berganjak ke Jalan Pudu dan Jalan Petaling, ini membuatkan ruang  jalan di hadapan menara maybank menjadi sedikit kosong dan membolehkan FRU masuk dengan  lebih dalam dan berada betul – betul dipertemuan antara Jalan Pudu, Jalan Tun Perak dan Jalan Petaling. Situasi ini memudahkan lagi FRU dan polis untuk bertidak zalim keatas para peserta perhimpunan “bersih 2.0” yang berhimpun secara aman.
FRU terus menembak gas pemedih mata bertalu – talu kearah Jalan Pudu tempat aku dan 3 rakan aku lain berada. Aku terus membasahkan t-shirt “bersih 2.0” yang aku pegang tadi dengan air mineral yang aku bawa dan menekapnya ke mulut dan hidung. Aku cuba bertenang kerana dalam keadaan yang begitu jika terjatuh boleh menyebabkan kita dipijak oleh orang lain dan yang paling membahaya ialah sepakan dan tapak kasut FRU boleh hinggap dimuka jika terlalai. Ini kerana selepas melepaskan gas pemedih mata, seleng beberapa minit selepas itu gerombolan FRU yang berbelantan aku masuk membalas mereka yang gagal melarikan diri.
Aku bersama Said terus berjalan di Jalan Pudu dihadapan Pudu Raya bersama puluhan ribuan peserta lain lagi. Aku memperingati Said supaya jangan jauh dari aku kerana kami bimbang kalau – kalau terpisah dalam keadaan yang sedikit tengang itu.  Achen dan Adil masih berada dalam kelompok orang ramai dibawah jejantas pudu raya. Aku bersama Said berada sekitar lebih 100 meter jarak yang dipisah dengan orang orang ramai. Mustahil aku dan Said dapat bersama semula dengan Achen dan Adil kerana keadaan yang agak sedikit kelam kabut dan jumlah orang yang ramai. Aku mengambil keputusan, aku mesti bersama Said dan biarkan Achen bersama Adil, dan aku merancang untuk bertemu semula setelah perhimpunan selesai.
Kumpulan Rakyat Terpisah Dua
FRU kini berada betul – betul di atas Jalan Pudu. Para peserta yang berada di Jalan Pudu itu sekitar 20 ribu orang atau mungkin lebih. Sebahagaian yang lain telah berpecah ke  Jalan Petaling dan aku mendapat maklumat yang mereka kini menuju ke dataran merdeka dan bergabung dengan kumpulan di Sogo. Tetapi kami masih di Jalan Pudu, dan boleh dikatakan kami sudah terperangkap dan terkepung. Ini kerana jalan dari Pudu menuju ke Bukit Bintang telah ditutupi oleh banteng polis. Sekali sekali datang gas pemedih mata dari arah sana dan membuatkan para peserta bergerak semula menuju ke hadapan pudu raya  dan terhenti di persimpangan hadapan pudu raya kerana FRU berperisai dan berbelantan telah berdiri bagi menutupi jalan bersama sebuah truck “water canon”. Aku dapat lihat gas pemedih mata telah dilepaskan dikawasan bawah jejantas pudu raya, tapi ianya tidak memberi banyak kesan kepada aku yang berapa pada jarak lebih 100 meter dari situ. Di atas jejantas penuh dengan para penyokong dan wartawan dan begitu juga dengan laluan untuk ke lot parking di pudu raya.
Para peserta hanya bergerak di jalan pudu dengan menuju kearah bukit bintang dan berpatah balik ke hadapan pudu raya. Beberapa kali kami menyanyikan lagu Negara Ku dan pelbagai slogan keramat dilaungkan. Aku membisikan kepada Said dengan memberitahu bahawa kami sudah terkepung dan Said juga menyedari akan itu. Aku cuba mengenalpasti lorong – lorong dicelah – celah bangunan lama sekitar Jalan Pudu sebagai laluan untuk menyelamatkan diri jika FRU melakukan serangan. Ini kerana aku sudah merasai bahawa FRU akan melakukan serang bila – bila masa sahaja ke atas para perserta perhimpun aman “bersih 2.0” berdasarkan loceng truck FRU yang dibunyikan sudah 3 kali dan bunyi ketukan kuat belantan FRU ke perisai mereka yang menandakan mereka akan menyerbu bila-bila masa sahaja. Aku perhatikan jam ditangan aku sudah hampir pukul 4.00petang.
Tembakan Bertalu – Talu Gas Pemedih Mata
Aku ternampak YB Saifuddin dan YB Siva datang dari arah belakang di celah – celah orang ramai menuju ke barisan paling hadapan sekali.  Beberapa lama selepas itu semua peserta diminta duduk  dan maklumat yang aku dapat, YB Siva cuba berunding dengan polis dan FRU bagi membenarkan kami semua bergerak menuju ke Dataran Merdeka. Aku baru sahaja hendak duduk dan aku mendengar loceng dari truck FRU dibunyikan sekali lagi dan selepas itu bendera hijau diangkat oleh seorang anggota FRU dari atas truck sambil menunjukkan tangannya ke arah orang ramai.  Tidak sampai seminit  bunyi tembakan gas pemedih mata  kedengaran bertalu – talu. Aku mendongak kepala ke udara dan memerhati lebih dari sepuluh gelongsong gas pemedih mata sedang  menuju kearah para peserta yang berhimpun dan ianya datang dari pelbagai sudut. Said memberitahu aku selepas perhimpunan itu, bahawa ada tembakan gas pemedih mata yang datang dari arah bangunan terbengkalai di Jalan Pudu. Mungkin FRU telah menyelinap masuk ke dalam bangunan terbengkalai tersebut bagi mendapat jarak yang lebih dekat untuk melepaskan gas pemedih mata.
Menyelamatkan Diri
Kali ini beberapa gelongsong gas pemedih mata jatuh kira – kira satu meter dari tempat aku berdiri. Hanya dalam beberapa saat sahaja asap dan kesan gas pemedih mata tersebut telah menyerang aku dan ribuan peserta lain.Situasi pada waktu ini cukup mencemaskan, sakit dan kepenatan. Aku membasahkan lagi t-shirt “bersih 2.0” yang dipegang aku dengan air mineral yang semakin kurang dan menekapkan ke muka.  Masing cuba menyelamatkan diri, dan lari dengan tidak tentu arah. Aku cuba untuk tidak menarik nafas dengan begitu dalam walaupun penat  kerana ini akan menyebabkan asap gas pemedih mata tersebut masuk dengan lebih banyak ke dalam badan aku dan boleh menyebabkan aku hilang kawal.  Aku mencari kawan aku Said, aku melihat dia berlari terus kearas jalan besar, aku menarik beg Said dan membawa dia lari mengikut lorong ditepi bangunan lama. Aku tahu jika berlari terus mengikut jalan besar, polis sudah bersedia di sana dan akan menangkap bila kami tiba.  Ini yang menyebabkan ramai yang menyembunyikan diri dalam perkarangan hospital swasta Tung Shin di jalan pudu yang mana polis dan FRU bertindak membedil hospital swasta tersebut.
Aku membawa Said dengan mengheret beg galasnya mengikut aku ke celah lorong, ramai sudah berpusu – pusu memasuki lorong tersebut. Selepas hanya 2 meter pegerakan di lorong tersebut, terdapat sebuah tangga dan para peserta yang mahu menyelamatkan diri tadi berpusu – pusu menaiki tangga tersebut. Mujur tidak ada yang terjatuh atau yang terpijak oleh para perserta lain. Aku melihat ramai yang tertanggal kasut dan berlari dengan kaki ayam selepas kasut mereka tertanggal sewaktu berpusu – pusu menaiki tangga. Setibanya diatas aku perhatikan 3 hingga 4 orang gadis remaja Cina sedang terbatuk hingga hampir termuntah kerana terhidu gas pemedih mata. Aku masih mampu menahan kesakitan dan keperitan gas tersebut.
Kaki Kejang “cram” Di Tangga Sempit
 Di kawasan atas tempat kami tiba itu ada sebuah kuil hindu, ada yang mengambil kesempatan untuk bersembunyi dalam kuil hindu tersebut baik dari kaum melayu atau cina. Ada beberapa kumpulan lagi sedang memanjat tembok untuk pergi ke tempat yang lebih selamat. Aku sudah tidak terdaya untuk memanjat tembok yang setinggi satu setengah meter  itu kerana kedua- dua belah kaki aku sudah mula terasa kejang “cram”. Jika aku memaksa dengan lebih kuat pergerakan pasti kaki aku akan terus cram dan tidak dapat berjalan lagi dan pasti akan ditangkap, ini kerana polis sudah mula menyerbu untuk menangkap sesiapa sahaja para peserta yang mereka lihat. Memang ini taktik tangkapan yang aku perhatikan dari pelbagai demostrasi – demostrasi yang aku sertai sebelum ini, FRU melepaskan gas pemedih mata dan apabila gas tersebut sedikit reda gerombolan polis dan FRU akan menyerbu masuk. Maka mereka yang telah lemah terkena gas pemedih mata akan mudah tertangkap.  Oleh itu carilah stamina secukup mungkin sebelum menyertai mana – mana demostrasi selepas ini.
Ketika berada di kawasan belakang blok – blok kedai tadi, aku rasakan seperti sudah tidak ada jalan untuk melarikan diri. Tiba – tiba aku terpandang sekumpul para peserta berpusu – pusu pada satu sudut di tembok tadi. Rupanya disitu terdapat sebuah anak tangga yang membolehkan para peserta menyelamatkan diri ke sebatang jalan raya yang boleh menuju ke kawasan Bukit Bintang. Aku tidak menyedari terdapat anak tangga tersebut pada awalnya kerana mata aku yang terlalu pedih akibat kesan gas pemedih mata. Sekali lagi aku menarik Said yang kelihatan agak hilang kawalan selepas terkena gas pemedih mata, menuju kearah anak tangga tadi dan situasi perpusu – pusu dan berhimpit sekali lagi terjadi seperti ketika menaiki tangga yang pertama tadi.
Selepas melepasi tangga tersebut, ramai antara kami termasuk aku dan Said berehat di bangunan Bursa Malaysia yang terdapat situ. Mujur ketika asap gas pemedih mata mula menguasai ruang udara hujan mula turun dengan sedikit lebat. Ini mengurangkan sedikit rasa perit akibat gas pemedih mata tersebut. Peluang untuk berehat sekejap tersebut aku gunakan untuk membasuh muka yang pedih. Beberapa peserta lain memberi garam kepada aku dan beberapa orang lain lagi. Garam adalah penawar mujarab untuk menghilangkan rasa perit gas pemedih mata dengan memasukkannya kedalam mulut. Petua ini aku perolehi sewaktu demo anti ISA 2009 dan selepas mencubanya pada waktu itu ternyata ia memang mujarab.
Garam Dan Polis
Aku betul – betul dahaga dan tekak menjadi kering, air mineral yang dibawa sudah habis diminum dan berkongsi dengan para peserta yang lain tanpa mengira kaum. Hampir 20 hingga 30 orang para peserta perhimpunan yang berlindung di bangunan Bursa Malaysia pada waktu itu. Selain para peserta, terdapat juga 3 orang polis yang beruniform berpangkat konstebel dan lans koporel  berada disitu. Aku tidak tahu apa motif mereka mereka berada disitu, mereka kelihatan langsung tidak mengambil peduli kepada para peserta perhimpuan yang berlindung dan berehat disitu. Aku sendiri hanya berdiri tidak sampai 2 meter dengan mereka dan mereka tidak ambil peduli. Yang aku perhatikan mereka memegang tuala kecil dan menyapu – menyapu muka mereka kerana kepedihan gas pemedih mata. Ada para peserta yang menghulurkan garam kepada polis tersebut tetapi mereka enggan menerimanya. Mungkin anggota polis ini sedang mencuri tulang atau tidak tahan terkena gas pemedih mata kerana dari riak wajah mereka jelas mereka seperti menahan kesakitan. Atau mungkin mereka ini antara polis yang tidak sanggup terlibat dengan aktiviti membelasah rakyat yang berhimpun dengan aman.
Terserempak Dengan Kumpulan FRU Yang Mengganas
Lebih kurang 15 minit berhenti di bangunan Bursa Malaysia tersebut, datang tiga orang lelaki dengan dua buah motosikal yang dipercayai unit amal pas dan mengarahkan kami untuk turun ke jalan di bawah tempat kami berlindung, ini kerana katanya lebih ramai para peserta perhimpunan sedang berada di bawah dan mereka mengajak kami membentuk semula kumpulan yang besar. Kaki aku sudah betul – betul terasa sakit dan kejang. Aku berjalan dengan agak terhencut – hencut dan perlahan. Semua perserta yang berada di bangunan Bursa Malaysia tadi turun ke bawah mengikut seperti mana arahan unit amal tadi. Setibanya aku dibawah ditepi jalan aku mendengar laungan dan jeritan kumpulan manusia yang ramai. Aku cuba mencari arah datangnya bunyi tersebut, dan apa bila aku perhatikan di sebelah kiri, kira – kira 500 orang para peserta sedang bergerak dalam satu kumpulan dan mereka ini sedang diasak dan dikejar rapat oleh FRU yang berperisai dan berkayu belantan. Pada waktu ini aku sudah tidak tahu apa yang terjadi pada Achen dan Adil kerana kami betul – betul telah terputus hubungan dan terpisah, hanya Said yang masih bersama aku.
Jarak kumpulan para peserta perhimpunan yang diasak dan dikejar FRU tadi lebih kurang 200 meter  dari tempat aku berdiri dan mereka sedang bergerak menuju kearah tempat aku berdiri. Bunyi deruman ketukan kayu belantan FRU pada perisai yang mereka pegang cukup menakutkan kepada mereka yang belum biasa merasai. Aku sudah tidak boleh berlari pada waktu itu dan hanya mampu berjalan perlahan – lahan sahaja. Dengan pantas aku perhatikan kumpulan yang dikejar dan diasak oleh FRU itu tadi semakin menghampiri aku dan Said yang berdiri di tepi jalan. Aku mengarahkan Said agar lari kearah  jalan agak menaiki bukit kerana aku pasti jika FRU sampai ditempat kami berdiri sudah pasti kami akan menjadi ulam mereka. Said terus berlari kejalan yang aku sebutkan tadi, tapi aku tidak mampu untuk bergerak selaju Said kerana kaki aku sudah terlalu sakit dan kejang. Aku hanya mampu berjalan perlahan – lahan bagi melalui jalan yang agak mendaki tersebut.
Jalan Mati
Setiba di separuh jalan, aku perhatikan terdapat denai yang menaiki bukit dan aku memasuki denai tersebut dengan tujuan untuk bersembunyi sementara menunggu kumpulan FRU yang menggila tadi melepasi kawasan tersebut. Tindakan aku ini diikuti oleh 4 orang peserta perhimpuan dari Kelantan. Aku bersama lelaki dari Kelantan tadi menyusuri denai tersebut dan rupanya denai tersebut adalah jalan mati dan pergerakan kami mati situ. Kami berlindung dibelakang timbunan tanah merah bagi mengelak dikesan FRU yang mungkin masih berada di kawasan sekitar. Helikopter polis berlegar dan terbang rendah di kawasan tersebut, aku percaya anggota polis yang berada didalam helikopter tersebut pasti dapat melihat kami yang sedang bersembunyi. Salah seorang dari lelaki Kelantan tadi menyatakan kerisauannya dengan mengatakan “kalau FRU datang kita tak boleh lari ni”. Aku juga menyedari situasi tersebut, tapi aku mencadangkan agar kami berada situ dahulu dalam beberapa ketika sementara menunggu keadaan reda. Ini kerana jika kami keluar pada keadaan FRU masih berlegar di kawasan tersebut, sudah pasti risikonya lebih tinggi. Aku sebenarnya sudah bersedia untuk ditangkap pada waktu itu, oleh itu aku mengambil tindakkan membuang dengan membunyikan baju t-shirt Bersih 2.0 aku tersebut di tepi hutan tersebut. Ini kerana jika tertangkap dengan memiliki baju t-shrit tersebut ianya akan menjadi lebih panjang cerita.
Meneruskan Pergerakan
Tidak berapa lama selepas itu, Said menghubungi aku bertanyakan dimana aku berada, aku memberitahu yang aku sedang bersembunyi di atas bukit tersebut. Said memberitahu keadaan sudah tenang FRU semua sudah beredar dari situ. Aku mengajak kumpulan lelaki dari Kelantan tadi untuk keluar semula. Sambil berjalan dengan terhencut – hencut aku mendapatkan Said yang mula hendak menghampiri tempat aku dan beberapa lelaki Kelantan tadi berlindung. Setelah turun dari bukit tersebut kami berjalan terus mengikut jalan raya yang sedikit mendaki tadi. Beberapa kumpulan kecil para peserta tiba dari arah belakang. Terdengar seorang lelaki memaki polis dan FRU dalam loghat pantai timur, berbunyi “tidak guna punya melayu, semua tu melayu belaka”. Aku hanya tersenyum memandang muka lelaki tersebut yang berbaju melayu dan berkopiah sambil aku terus menahan kesakitan kaki aku.
Aku dan Said serta beberapa para peserta lain terus berjalan mengikut jalan raya tersebut. Aku sendiri tidak tahu jalan tersebut menuju kemana. Aku bertanyakan kepada seorang lelaki cina yang berkepala botak tentang arah jalan tersebut, dia memberitahu jalan tersebut menuju ke bukit bintang. Kami meneruskan perjalanan agar dapat membentuk semula kumpulan yang besar walaupun pada waktu itu aku sudah betul – betul kekurangan tenaga. Sepanjang perjalanan aku menerima dua tiga panggilan telefon serta dari rakan aku yang berkumpul di masjid kampung baru pagi tadi dengan memberitahu dia sedang berada di pudu waktu itu, ini menunjukkan kumpulan dari masjid kampong baru telah mengambil alih tempat kami di pudu. Selain itu aku turut menerima panggilan dari rakan – rakan aku yang berada di Penang bagi bertanyakan situasi semasa perhimpunan tersebut. Aku hanya menjawab ringkas kerana terlalu penat.
Dijemput FRU Dan Restoran Makanan Cina
Setibanya kami di Bukit Bintang sekali lagi kami terperangkap, rupanya kumpulan FRU tadi sudah tiba lebih awal di Bukit Bintang. Ketika aku berada disekitar kedai – kedai makanan di Bukit Bintang, aku terdengar bunyi tembakan gas pemedih mata bertalu – talu. Bunyinya datang dari arah belakang kedai – kedai makanan tersebut. Aku sudah betul – betul tidak berdaya untuk belari pada waktu itu, aku dan Said berpatah balik bersama dengan dengan para peserta lain yang kebanyakan kaum cina. Aku hanya mampu untuk berjalan secara perlahan dan hanya redha kalau tertangkap.
Aku masuk ke sebuah restoran makanan cina yang terdapat ditepi jalan tersebut. Pada mulanya mereka agak keberatan untuk membenarkan aku masuk kerana bimbang akan menjejaskan perniagaan mereka. Tapi selepas aku memberi penerangan mereka membenarkan aku berada dalam kedai tersebut. Said mengambil selekoh ditepi  jalan tersebut dan masuk ke dalam restoran nasi kandar. Hanya aku seorang yang berada dalam restoran makan cina tersebut kerana pihak pengurusan restoran tersebut terus menutup kedai mereka apabila FRU mula menggila di luar. Aku diberi layanan yang baik oleh kakitangan restoran dan pengurus restoran tersebut. Mereka membawakan aku segelas air kerana mereka menyedari aku berada dalam keletihan. Hampir setengah jam  aku berada dalam restoran tersebut. Di luar masih kedengaran tembakan gas pemedih mata, Said menghubungi aku dan memaklumkan yang dia sedang berada di restoran nasi kandar berhampiran di situ. Aku mengarahkan Said agar terus berada disitu hingga semuanya reda dan berjumpa kembali selepas itu.
Setelah beberapa lama aku dalam restoran makanan cina tersebut, salah seorang kakitangannya memberitahu bahawa keadaan sudah “ok” dan sudah tidak ada polis di luar. Aku mengucapkan terima kasih kepada kakitangan dan pengurus restoran tersebut kerana membantu aku dan aku terus keluar dari restoran tersebut bagi mendapatkan Said. Aku cuba menghubungi Said tetapi gagal kerana rangkaian telefon aku tiba tiada liputan. Agak mustahil di tengah-tengah bandar besar seperti Bukit Bintang tidak mempunyai liputan rangkaian telefon. Mungkin ada pihak yang sengaja mematikan liputan rangkaian telefon pada waktu itu. Aku mencuba berulang kali, akhirnya aku berjaya menghubungi Said. Aku tidak jelas dimana dia berada, aku berjalan mundar mandir sekitar kawasan tersebut. Aku berbual dengan sekumpulan remaja cina yang turut sama terlibat dalam perhimpunan tersebut. Katanya, rakannya memaklumkan yang para peserta kini sedang bergerak ke KLCC dan ada juga kumpulan yang tersangkut dihadapan Concord Hotel serta Sogo.
Jam sudah menunjukkan hampir 5 petang dan merasakan perhimpunan Bersih 2.0 pada hari itu pasti sudah berakhir. Aku mengakhiri perhimpunan tersebut dengan situasi yang agak genting dan mencemaskan. Akhirnya aku berjaya berjumpa kembali dengan Said, aku dan dia pergi ke restoran nasi kandar yang Said berlindung tadi untuk menghilangkan penat dan dahaga. Di dalam restoran itu juga terdapat ramai para peserta perhimpunan yang berehat dan melepaskan penat setelah separuh hari berdemostrasi dan berhadapan dengan asakan FRU dan polis. Aku berbual panjang dengan dua orang lelaki dari Selangor berkenaan politik dan perhimpunan tersebut. Dari apa yang disuarakan mereka menunjukkan bukan aku sahaja yang mahukan perubahan tetapi rata –rata rakyat Malaysia mahukan perubahan terutamanya perubahan dalam pilihanraya.
Mengakhiri Perhimpunan
Setelah hampir jam  6 petang Adil menghubungi aku, dia memaklumkan mereka sedang berada dalam perhimpunan akhir di KLCC bersama beberapa pemimpin seperti Chegu Bard dan beberapa yang lain lagi. Itu merupakan perhimpunan penutup kepada perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai tersebut. Aku dan Said tidak dapat melibatkan diri dalam perhimpunan penutup itu kerana menerima asakan hebat FRU disamping keadaan fizikal yang telah tidak mengizinkan.  Aku bercadang untuk berjumpa semula di hadapan Mcdonald di Jalan Bukit Bintang. Sekitar jam 6.30 petang kami berempat berjaya bertemu kembali  dan masing – masing tidak lekang dari menceritakan pengalaman sepanjang hari tersebut. Selepas itu kami pergi ke sebuah kedai makanan untuk mengisi perut. Selepas itu kami mengambil keputusan untuk bermalam di buget hotel di Bukit Bintang kerana perkhidmatan bas di puduraya telah dihentikan hingga jam 10 malam dan pulang ke Bukit Mertajam keesokannya. Tenyata semua antara kami malahan ratusan ribu rakyat yang terlibat dalam perhimpun Bersih 2.0 pada 9 Julai tersebut puas kerana berjaya terlibat dalam membentuk sejarah.
Sejarah Tercipta
Perhimpunan “Bersih 2.0” 9 Julai 2011 yang telah berlaku itu pasti akan tercatat dalam lingkungan sejarah tanah air kita. Jika berlaku perubahan kelak, ianya akan pasti akan tertulis di dalam buku – buku tekt sekolah dan menjadi rujukan kajian dan bacaan intitusi – intitusi pengajian tinggi dalam dan luar negara. Peristiwa ini juga akan terangkum dalam dokumentari – dokumentari yang akan dilihat dan ditatap oleh generasi anak cucu cicik kita 20,30 tahun yang akan datang. Berbanggalah kita kerana kita yang melakukannya. HIDUP RAKYAT!!!!
credit to  Alex Cheong for this picture

credit to  Alex Cheong for this picture

credit to  Alex Cheong for this picture

credit to http://www.tranungkite.net/v11/ for this picture

Catatan:
-       Hampir ratusan ribu rakyat dari pelbagai negeri dan kaum menyertai perhimpunan “Bersih 2.0”, namum media arus perdana cuba menafikan dengan menyebut hanya 6000 sahaja
-       Hampir 1600 para peserta perhimpunan aman “Bersih 2.0” ditangkap
-       Ramai pemimpin utama Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil “Bersih 2.0” ditangkap, termasuk pemimpin Pakatan Rakyat seperti Ustaz Hadi Awang
-       Dato Seri Anwar Ibrahim tercedera selepas ditembak dengan gas pemedih mata di KL Santrel.
-       Naib Presiden PAS Mat Sabu cedera dan terpaksa dibedah dibahagian lutut selepas motosikal yang diboncengnya ke Masjid Negara dilanggar oleh Polis.
-       Terdapat lebih dari satu tempat rakyat berkumpul seperti di Pudu Raya, Masjid Kampung Baru, Sogo, Dataran Merdeka, KL Sentral dan Stadium Merdeka. Namum mereka ini tidak dapat bergabung serentak kerana asakan dan halangan FRU serta FRU.
 

Facebook Comments