expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Friday, July 15, 2011

Perdana Menteri & Ketua Polis Negara Menipu Rakyat


14 JULAI 2011 - Batu Gajah, Perak

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Tronoh di Batu Gajah pada 14/7/2011.

Integriti dan kredibiliti kerajaan terjejas apabila 2 orang tokoh negara membuat kenyataan palsu dalam media untuk menipu keseluruhan rakyat Malaysia. Mereka mendakwa bahawa polis tidak menembak air dan gas pemedih mata di dalam kawasan Hospital Tung Shin. Ini adalah satu pembohongan yang sangat ketara. Terdapat banyak rakaman video dan saksi-saksi yang melihat dan menjadi mangsa keganasan polis di kawasan hospital berkenaan.

Saya bersama-sama YB Lim Pek Har, ADUN Menglembu berada di Hospital Tung Shin ketika kejadian menembak air dan gas pemedih mata itu berlaku di dalam kawasan hospital itu. Kami terperanjat dengan tindakan polis yang ganas lagi berani menembak gas pemedih mata ke dalam kawasan hospital. Saksi-saksi lain yang turut menjadi mangsa gas pemedih mata di Hospital Tung Shin ialah Pengerusi DAP Cawangan Bemban Lim Yoke See, Pengerusi DAP Cawangan Pusing Chan Chin Fah, Pengerusi DAP Cawangan Batu Gajah Utara Vijayakumar dan ramai lagi.


Beribu-ribu orang telah menyaksikan kejadian yang zalim itu, tetapi Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara menafikan tindakan polis menyerang Hospital Tung Shin. Sudah tentu ini menjatuhkan imej ketua negara dan Ketua Polis Negara yang sepatutnya dipandang tinggi oleh masyarakat umum. Apatah lagi penipuan ini dibuat semata-mata untuk kepentingan politik Barisan Nasional.

Selain daripada itu kami juga melihat berpuluh-puluh anggota polis dengan begitu ganas dan cemas telah memasuki kawasan dan bangunan Hospital Tung Shin untuk menangkap orang-orang yang datang menghadiri perhimpunan aman Bersih. Mereka telah menggunakan kekasaran yang keterlaluan apabila menangkap orang-orang yang berlari untuk menyelamatkan diri mereka.

Saya tidak lari daripada polis, saya duduk dan melihat telatah dan cara tangkapan yang dibuat oleh polis di Hospital Tung Shin. Walau bagaimanapun saya juga ditahan oleh polis di dalam kawasan Hospital Tung Shin. 2 orang anggota polis telah mengambil maklumat peribadi saya dan melepaskan saya dengan serta-merta.

Kenyataan media ini dibuat semata-mata untuk memberitahu kejadian sebenar yang berlaku di dalam kawasan Hospital Tung Shin supaya pihak-pihak tertentu tidak mengelirukan isu yang sebenar. Rakyat Malaysia berhak mengetahui kebenaran untuk kepentingan bersama.

Facebook Comments